Monday, 3 December 2018

LARI

Kontra
Kenyataan hari semalam
Dan kebenaran hari ini
Aku yang keras
Tak sanggup menghadapi
Sekali lagi
Aku dihadang dan dihenti
'Berhenti bertanya lagi'
 Aku benci frasa tadi
Menghempas aku mati
Aku berpaling buat kesekian kali
Langkahan aku buka dan terus berlari
Hujan lebat aku tak peduli
Deras angin tahu aku di sini
Tapi tetap aku dibantai tanpa dikasihani
Rasa tersangkut nafas ini
Bahagia yang sedetik tadi
Hanya cerita falasi
Mimpi
Yang tiada destinasi.

Friday, 18 May 2018

Jauh

Seolah kau yang paling dekat
jasadmu hampir
tidak hatimu
tak tercapai lagi
dek dosa dahulu
yang tiada ampun
ku kesali
cubaku perbaiki
mustahil
manusia nista ini
dikasih semula
bagai bayi suci
tiada najis
senyumku perit
hatiku sakit
tetap tak terbanding
hatimu yang 
kurobek remuk dahulu
dosaku
yang tiada ampun
menjauhkan
hatta kekasih 
yang paling tinggi. 
 

Tuesday, 3 April 2018

Hilang

Kering
Butir-butir yang merangkak manja
Perlahan jatuh tidak bersuara
Tajam menusuk menembusi lapisan nipis
Perlahan diangkat beralih arah
Kering
Anak tekak daripada saliva
Masih didukung perit yang mencucuk
Meski bertekad untuk beralih
Seketul daging merah 
Masih di sana
Masih berharap dan menunggu
Yang pergi kan kembali
Impian lama telah hilang
Bukan tidak diterima
Tapi buta
Sebatang jasad berlalu pergi
Dari tapak lama tempat menanti
Cebis-cebis kaca pecah tidak berhenti menusuk 
Lapis-lapis kulit nipis
Ditinggalkan hati
Jalan terus ke hadapan
Sedikit pun tidak menjengah
Tidak laju langkah menapak
Tidak mengejar yang telah lama pergi
Mahupun yang baru semalam
Tidak pula perlahan
Tidak terlintas di benak
Mahu pulang
Harapan
Lama telah hilang
Hati yang ditinggalkan di tapak lama
Sudah hilang bayang
Dada yang berlubang
Merindui hati yang mengisi
Tidak dipedulikan
Hidup mesti diteruskan
Meski hilang
Harapan.